Blogger Widgets Perlunya mendidik anak-anak Mengenai Wang ~ Umat Islam Kena Kaya

Sunday 25 March 2012

Perlunya mendidik anak-anak Mengenai Wang



Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini, pengurusan kewangan keluarga merupakan  satu perkara yang sangat penting. Konsep pengurusan kewangan ini bukan sahaja terhad kepada golongan dewasa, malah ia perlu diterapkan pada peringkat kanak-kanak lagi.


Anda harus bermula dahulu
Anda perlulah mendedahkan kepada anak-anak tentang pengurusan kewangan bermula daripada sekarang. Ini dapat membantu mengurangkan jumlah perbelanjaan bulanan anda. Dengan harga barang runcit yang semakin meningkat, anda sememangnya memerlukan bantuan daripada semua ahli keluarga dan  tidak terkecuali  juga daripada anak-anak. Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang tertanya-tanya, “Perlukah anak-anak diberi pendidikan tentang wang?” Teruskan membaca untuk mengetahui jawapannya.

Untuk menerapkan nilai dan asas yang kukuh pada anak-anak

Mahu atau tidak, anda perlu mengakui bahawa pengurusan kewangan adalah satu keperluan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang ini yang semuanya memerlukan duit. Malangnya, ramai ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak mereka mengenai asas-asas pengurusan kewangan. Ini perlu diubah kerana mendidik anak-anak mengenai wang adalah sama pentingnya dengan mengajar anak mengenai perkara-perkara asas lain seperti memberus gigi, mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya. Pengajaran yang paling penting untuk disampaikan kepada anak-anak ialah kepentingan menabung dan mengelakkan pembaziran. Ini perlu dilaksanakan demi kebaikan anda dan anak-anak anda.

Duit tidak turun dari langit

Mungkin ada anak-anak pada zaman sekarang tidak menganggap bahawa mendapatkan duit itu satu perkara yang sukar. Semuanya dianggap mudah belaka oleh mereka. Cubalah bayangkan senario yang benar-benar berlaku ini – seorang anak kecil meminta ibunya membelikannya mainan baru  tetapi ibunya tidak mempunyai duit yang mencukupi dalam dompetnya untuk membelikan mainan tersebut, lalu dia berkata “Mak tidak cukup duit nak belikan adik mainan ni”.
Si anak pula dengan lurusnya menjawab  “ATM kan ada. Mak keluarkan sahaja duit daripada mesin ATM tu”. Inilah fikiran kanak-kanak zaman sekarang! Menakutkan bukan?.  Bagi mereka, wang yang dikeluarkan mesin ATM itu tidak ada kesudahannya, dan anda boleh ke mesin ATM pada bila-bila masa sahaja untuk mengeluarkan seberapa banyak wang yang anda mahu.
Kanak-kanak akan melalui satu peringkat dalam hidup mereka yang menyebabkan mereka ingin memiliki pelbagai jenis benda. Mereka mahukan itu, mahukan ini dan macam-macam lagi. Mereka tidak sedar bahawa untuk mendapatkan wang, anda sebagai ibu bapa perlu bekerja keras. Tidak semua yang dihajatkan boleh menjadi milik mereka. Apabila anak-anak sudah sampai ke peringkat ini, sudah tiba masanya untuk anda memberikan mereka pendedahan mengenai pengurusan kewangan.

Mendisiplinkan anak anda mengenai wang

Salah satu pengajaran yang paling penting dalam usaha anda mendidik anak-anak mengenai pengurusan kewangan ialah anak-anak perlu mengetahui bahawa mereka perlu mempunyai disiplin dalam berbelanja dan menguruskan wang. Ramai ibu bapa yang mungkin menggeleng kepala dan mengeluh sambil berkata “Kanak-kanak sekarang bukan macam dulu. Bukan mudah untuk mengajar mereka supaya berdisiplin”. Anda  boleh berbahas mengenai isu disiplin ini, namun apa yang pasti ialah disiplin itu satu keperluan.
Anak-anak perlu mempunyai disiplin, sama ada dalam konteks menyimpan wang dalam akaun simpanan mahupun sekadar dalam tabung di rumah. Apabila anak-anak mengenali perbezaan antara keperluan dan kehendak serta perlunya menabung, mereka akan mempunyai disiplin untuk menabung dan mengawal diri daripada membazir. Mereka juga akan berusaha dengan lebih gigih untuk berbelanja mengikut kemampuan diri.

Didik anak menabung dari kecil lagi

Untuk mengelakkan anak anda daripada menjadi generasi hutang (generation debt)

Ramai anak-anak yang masih menuntut  di universiti sudahpun mempunyai hutang yang perlu mula dibayar apabila setelah tamat pengajian. Contohnya pinjaman pelajaran atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).  Apa yang dikhuatiri ialah apabila memasuki alam pekerjaan, bukan saja pinjaman pelajaran yang perlu dibayar, tetapi ditambah pula dengan hutang kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya.  Jika hutang ini tidak dikawal, mereka mungkin akan dibelenggu hutang untuk tempoh yang lama. Keadaan ini mungkin akan melarat sehingga mereka sudah berkeluarga.
Oleh itu, bagi mengelakkan anak-anak daripada ditimpa masalah seperti ini, anda perlu membimbing mereka mengenai perancangan kewangan sejak dari awal lagi.

Untuk menanamkan sifat pemurah dan dermawan pada anak-anak

Jika anak-anak anda dapat menguruskan wang dengan lebih baik, mereka akan dapat menabung dan melabur wang yang disimpan itu. Di samping itu juga, wang lebihan itu boleh digunakan untuk menderma atau menolong kawan atau orang-orang susah. Inilah masanya untuk memberikan anak-anak pendedahan kepada golongan yang kurang bernasib baik agar mereka tahu menilai kepentingan jati diri yang baik dan sentiasa bersyukur dengan segala kemewahan dan kesenangan yang dimiliki.  Dengan menggalakkan sikap dermawan dalam diri anak-anak pada usia yang muda, mereka akan membesar sebagai individu yang mempunyai sifat terpuji dan menghargai kesan positif yang dibawa mereka kepada persekitaran dan masyarakat sekeliling.
Sumber :min.com.my

Menabung emas sikit-sikit,lama-lama jadi bukit
P/S:Wang yang sebenar ialah emas (dinar dan dirham).Boleh mula mendidik anak mengenai emas sedari kecil.Artikel di atas adalah panduan yang bagus,cuma ia lebih merujuk kepada simpanan wang kertas.Simpanlah sedikit untuk keperluan kecemasan,tabungan keluarga dan selebihnya bolehla  dalam bentuk simpanan emas ,pendek kata -Menabung emas


Sumber: http://jutawangold.com/artikel/perlunya-mendidik-anak-anak-mengenai-wang.html

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More